Salam Skot,
Kisah di hutan saya rehatkan seketika untuk kerja-kerja mencuci 'internal hard disk' yang dah berkarat teruk. Namun nama Staff Fakharuddin adalah antara nama besar yang masih tak dapat nak dilupakan. Di dalam istilah ketenteraan, gelaran Staff adalah nama panggilan kepada anggota tentera 'lain-lain pangkat' dengan kata mudahnya untuk mereka yang berpangkat Korperal ke bawah. Jika dikira dari segi pangkat, Staff Fakharuddin hanyalah 'machaie'. Bahkan orangnya pun bertubuh kecil, hanya separas bahu saya sahaja.
Yang membuatkan saya teringat sangat kepada beliau adalah sikap beliau yang cukup lain daripada yang lain. Beliau sering memuji kami para pelajar universiti secara terang-terangan biarpun kami sendiri tidaklah terasa hebatnya menjejak kaki di menara gading. Beberapa kali saya mendengar beliau mengajar sambil berdoa agar agar anak-anak beliau dapat mengikuti jejak langkah kami yang belajar di universiti. Kami cukup bertuah mendapat khidmat Staff, biarpun ketika itu saya sudah di tahun kedua dan sudah hampir dengan tempoh pencen pilihan daripada ROTU...
Saya sendiri sering terharu apabila tiba giliran beliau mengajar kerana orangnya sangat budiman, malah bahasanya pun persis seniman. Pernah suatu ketika semasa khemah tahunan, saya sengaja buat-buat rajin semata-mata untuk mengikut beliau menjalankan tugas. Staff cukup kaya dengan pengalaman hidup malah tidak kedekut untuk berkongsi dengan anak-anak didiknya. Sifat itu yang membuatkan saya 'respek habis' kepada beliau.
Namun, cerita paling menarik tentang Staff Fakharuddin adalah kisah beliau meminum air kumuran kami setelah didendanya kami beramai-ramai dengan menggosok gigi menggunakan 1 berus (sebelum adanya 1 Malaysia lagi, kami di ROTU dah pakai konsep SATU ni). Kisahnya tak sempat nak diceritakan hari ini, tengoklah nanti jika memori saya kembali pulih atau ada rakan ROTU yang boleh membantu. Kata Staff semasa minum air tersebut, "Saya nak ambil berkat kamu semua, biar anak-anak saya nanti pandai-pandai seperti kamu semua". Cukuplah dahulu bercerita, doakan agar saya sempat menyambungnya nanti Insya Allah, wassalam.