Monday, October 31, 2011

Seloka Malam Selasa: Melihat dengan hati...


Salam semua,

Saya dan isteri kini sedikit debar dan gelabah. Bayi ketiga kami yang mengikut jangkanya seorang puteri Insya Allah. Isteri saya akhirnya memilih untuk bersalin di Kedah. Biarpun pada asalnya Kuantan menjadi pilihan nombor wahidah...

Betapa tidaknya kerana pembantu warga Kemboja yang dinanti tak kunjung tiba. Dek masalah birokrasi angkara rakyat Malaysia durjana...Ada kita terima, takda kita Redho.

Mungkin ada baiknya kami tidak dibantu, biarpun fikiran sedikit semak membayangkan penat yang bakal menunggu. Dengan dua lelaki pun kami adakalanya terbuntu, inikan pula ditambah lagi satu.

Saya melihat hikmah di sebalik semua ini, saya cuba melihat dengan hati. Barangkali Allah yang Esa ingin mendidik kami, agar lebih pandai dan tekun mengatur strategi.

Menjaga anak perempuan sudah semestinya tak sama dengan anak lelaki. Bagi kami pengalaman ini adalah yang pertama kali. Begitu juga bagi kaum keluarga di sebelah lelaki. Insya Allah kami bakal memecah tradisi.

Ya, keluarga sebelah saya belum pernah mendapat cucu perempuan. Semua anak emak segak dan tanpan. Hingga ke cucu pun semuanya perlu dikhatan. Pagi main kejar-kejar, malam sambung berlawan.

Kepada semua rakan dan taulan, ku pohon doa kesejahteraan dari kalian. Agar bayi dan emaknya selamat dibidan, biarpun si ayah masih berjauhan. Dari jauh aku berdoa, agar Allah merahmati kami sekeuarga. Bertambah rezeki bertambah bahagia, menyambut bayi yang dinanti semua...Sekian dulu seloka malam selasa...wassalam.

Thursday, October 6, 2011

Susah Pun Ada Makna...Apadia?


Salam semua...

Katakanlah satu hari anda mendapat berita kematian seorang saudara terdekat. Katakanlah juga anda sebenarnya sedang terfikir untuk meminta bantuan kewangan daripada arwah. Mood anda pun mulalah bertukar ke daripada harap ke ratap. Kemudian anda pun berkunjung ke rumah keluarga arwah bagi meringankan beban psikologi mereka sambil turut bertahlil bersama. Tetiba sebelum bertolak pulang anda diberi satu sampul yang katanya telah diamanahkan arwah untuk diserahkan kepada anda setelah beliau tiada. Dengan muka 'welfair' menerima sampul tersebut tanpa banyak soal dan terus pulang ke rumah.

Sampai di rumah, setelah dibuka sampul misteri itu anda terkejut beruk...Isinya adalah surat geran tanah suku ekar yang dihadiahkan oleh arwah kepada andabag. Mood anda terus berubah dari ratap ker mantappp...Biarpun anda tahu arwah memiliki banyak tanah, namun anda langsung tidak menyangka akan diberikan sebidang tanah secara percuma. Anda tidur awal malam itu dan mulalah memuji-muji arwah di dalam hati, terasa bagaikan bulan jatuh ke riba.

Keesokan harinya anda terus ke lokasi di dalam geran tanah untuk melihat kawasan tersebut. Alangkah terkejutnya anda melihat tanah itu berada di lokasi yang amat strategik dan pasti mahal sekali harganya...Kali ini anda melompat kegirangan dan mood anda sekali lagi bertukar dari mantap ke 'melantun-lantun', Wohaaa (ayat standet dari blog kereta mayat)

Bagitulah halnya kehidupan dunia kita. Setiap ujian besar atau kecil, ada hikmah tersembunyi yang selalunya kita tidak sedari. Hanya setelah kita mengubah cara kita melihat ujian tersebut, melihat dengan rangka yang lebih besar barulah jelas hikmahnya. Semakin besar rangka penglihatan kita, semakin besar hikmah yang kita tafsirkan. Dengan mengubah cara melihat sesuatu ujian, kita sebenarnya mampu mencorakkan mood kehidupan. Semua orang inginkan mood yang melantun-lantun, namun masih melihat dunia dari bawah tempurung.

Cubalah fikirkan beberapa ujian yang pernah berlaku di dalam kehidupan anda dan fikirkan pula sebarang hikmahnya...Jika hikmahnya masih mendapat sebidang tanah, teruskan renungan anda. Jika hikmahnya sampai kepada alam akhirat, syurga dan kasih sayang Ilahi, emm anda bolehlah tiduk nyenyak dengan mood yang melantun-lantun. Sekian dahulu, wassalam.



Wednesday, October 5, 2011

Amanah vs KPI

Salam semua,


Kecoh dibincangkan sekarang betapa ada pihak tertentu di sekolah-sekolah yang cuba menghalang muridnya yang 'kurang bijak' mengambil peperiksaan utama demi menjaga KPI. Saya telah lama mendengar kisah sebegini, malah lebih terdapat beberapa kisah yang jauh lebih mendukacitakan pun telah berlaku. Ada pihak yang begitu tergila-gila mengejar KPI malah sanggup pula menipu 'tahap Hollywood'. Kununnya untuk mendapat anugerah sekolah berprestasi tinggi, hampeh. Kununnya pelajar sekarang semakin pandai biarpun terpaksa belajar ilmu hisap dengan bahasa mat saleh, ilmu hisap rokok bolehla bang! Saya tak ingin membongkar semua kisah 'silap mata' tersebut di sini. Lu pikirlah sendiri! Hati saya kuat berkata, "Kita bakorrr jer! Kita bakorr jer!" (sambil jari-jemari berpusing-pusing)



Isteri saya adalah seorang guru, saya juga pernah menjadi guru dan sekarang pula sedang berkhidmat di dalam institusi pendidikan. Jiwa saya amat mudah tersentuh jika ada isu yang melibatkan integriti warga pendidik ini diketengahkan. Jika isu ini sekadar berita 'sampah' dari akhbar picisan, tidaklah sangat saya hiraukan. Namun, ia adalah realiti di dalam sistem pendidikan negara yang kunun-kununnya telah berjaya mengeluarkan pertambahan produk 'pelajar bijak' saban tahun.

Bagaimana mungkin sistem pendidikan semakin mantap, jika terdapatnya pelajar tingkatan satu di sekolah asrama penuh yang belum mampu membaca dengan baik? Adakah ini suatu permainan silap mata atau sekadar drama wayang daripada pihak tertentu yang berkepentingan? Adakah pihak berkepentingan ini sedar kerosakkan yang telah mereka lakukan pada generasi anak-anak yang terlibat ini? Betapa saya amat menghormati warga pendidik yang saban waktu gigih anak bangsa. Betapa saya amat menghormati usaha mereka yang tidak pernah menganal letih dan jemu malah sanggup berkorban masa, harta sehinggalah masa bersama keluarga. Betapa saya amat menghormati warga pendidik sehingakan saya anggap hanya 'cikgu' yang kurang siuman sahaja sanggup mengorbankan amanah bangsa demi KPI.



Namun saya sendiri yang menjadi 'hampir tidak siuman' apabila mendengar kisah benar betapa sistem pendidikan negara telah rosak terus terutamanya untuk pelajar yang mengambil UPSR. Bukan sekadar cikgu yang 'terpaksa' menipu, malah dengan guru besarnya juga sekali terlibat demi mengejar KPI 'sampah' yang ditetapkan. Maaf kepada warga pendidik yang membaca posting ini, saya tidak maksudkan untuk menghina sesiapa. Saya amat menghormati guru dan sangat cintakan bidang pendidikan. Namun kegilaan mengejar KPI telah banyak merosakkan minda dan hati nurani sebahagian warga pendidik...



Isu yang dibincangkan sekarang hanyalah sekelumit daripada barah yang sedang melanda sistem pendidikan negara. Jika anda lebih prihatin, tanyalah sendiri kepada guru-guru yang jujur dan ikhlas mengajar. Anda akan mendengar pelbagai kisah sedih yang adakalanya tak masuk akal sekalipun...Saya tidak ingin menyalahkan sesiapa. Saya sendiri pernah berada di dalam situasi di mana saya terpaksa memilih antara KPI dengan amanah. Saya terpaksa membayar harga yang mahal akibat memilih amanah. Kini saya sedar, berkhidmat demi amanah adalah berbaloi dan banyak mendatangkan berkat di dalam kehidupan.


Kepada semua warga pendidik yang membaca posting ini, sekali lagi ribuan ampun dan maaf andai kata saya telah mengguris hati anda tanpa niat. Muga Allah membalas jasa semua guru-guru yang berkhidmat dengan jujur dan memberikan hidayah kepada mereka yang tersesat jalan. Sekian dahulu, wassalam.

Tuesday, October 4, 2011

Orang Muda Pun Poyo Jugak Rupanya...

Salam semua...

Sejak saya mula mengikuti blog bro Aidid dan karkun Hamka (Kereta Mayat), terasalah betapa jelas poyonya bahasa di dalam blog ini. Patut sangatlah dua blog yang sungguh 'ngetop' di kalangan anak muda ini mencecah jutaan pelawat, woohaaa...(kes plagiat la nie, lagikan hakim pon dah pandai memplagiat huhu).

Namun, malam ini terasa la macam dunia dah sedikit terbalik. Saya singgah makan malam di medan selera bersebelahan Masjid UNITEN dan sempat pula mendengar sesi ceramah akhir para calon yang bakal bertanding di dalam pilihanraya mahasiswa di sana. Terkejut 'biawak' saya dibuatnya yang sedang menikmati hidangan sambil mencuri-curi dengar salah seorang calon yang dengan penuh poyonya membawakan tema ESQ165 semasa sesi pembentangan beliau. Di antara perasaan nak sukke (gelak) atau takjub dek lenggok bahasanya, saya memilih untuk cepat-cepat makan dan terus meninggalkan medan selera tersebut sebelum saya hilang selera.


Sambil berjalan ke kereta, sempat juga saya terperasan dua orang 'abang misai' yang berpakaian preman sedang menjamah kacang tanah cap Nyan Yin dengan mulut yang berasap-asap sambil tekun memantau para calon menyatakan misi masing-masing. Selamat mengundi kepada para mahasiswa sekalian, anda mampu mengubahnya! Sekian dahulu, wassalam.

Mencari Makna Dalam Pekerjaan...


Salam Semua....


Dengan gaya berpelikat, pagi ini saya masih di lobi asrama PERMATA sambil melayari internet setelah usai solat subuh. Semuanya gara-gara tertinggal kunci bilik, dah tua barangkali...Sedikit perkongsian ilmu yang saya perolehi semalam daripada jurulatih otai HSE di PETRONAS, Hj Abu Bakar atau lebih dikenali dengan nama Hj Burn. Setelah tamat sesi semalam, saya sempat berbincang dengan beliau tentang beberapa perkara. Namun satu perkara yang amat terkesan di hati saya apabila beliau berkongsi matlamat menyampaikan sesuatu latihan kepada staff. Katanya dengan jujur, " Zam, depa-depa (mereka) ni satu hari akan jadi orang penting di PETRONAS. Bila depa dah jadi CEO ka barangkali, harap depa boleh ingat apa saya pesan tadi..."


Perghhhh, sampai begitu sekali harapan beliau rupanya. Saya belajar sesuatu yang baru semalam. Saya belajar cara untuk mencari makna dalam pekerjaan. Terima kasih Hj, jasamu dikenang...Sekian dahulu, wassalam.


(Staff PERMATA yang menjaga asrama pun dah sampai, selamat chek)

Monday, October 3, 2011

Subaru Impreza vs Nissan Latio...


Salam Semua,




Pagi ini, sebelum subuh lagi saya sudah bertolak dari Kuantan untuk ke KL menghadiri kursus selama 4 hari di Bangi. Berkobar-kobarlah semangat menghadiri kursus ini bagi tujuan untuk menjadi jurulatih pula pada bulan November nanti. Setelah menghampiri kawasan Genting Sempah yang tersangatlah tinggi dan lama pendakiannya, saya mulai memotong dengan berahinya kerana sudah hampir 1 jam terlewat. Dek kerana Latio hitam saya juga bergear manual, kerja memotong dan men'drift' di selekoh dan ceruk Genting Sempah yang tajam lebih mudah dilaksanakan.

Sehinggalah sampai ke satu selekoh, saya menyedari satu kereta bewarna biru tua yang sedang laju mengejar saya dari belakang. Sekilas pandang dari cermin belakang kereta, saya menyangka sebuah Subaru Impreza WRX sedang mengaum di belakang saya. Hati kecil saya berkata, "Laju betoi Subaru nie, tak dan nak masuk tepi dah rapat". Sehinggalah saya masuk ke kiri jalan, maka Subaru biru itupun dengan selambanya memotong tanpa sebarang masalah. Ketika itulah saya baru tersedar, betapa Subaru Impreza khalayan saya tadi hanyalah sebuah Nissan Bluebird yang disolek secukup rasa...

Wow! Power betoi Nissan Bluebird rupanya. Sungguh 'unsangkarable' bagi kereta yang mungkin sahaja dah berumur hampir 30 tahun. Kalaupun enginnya dah bertukar baru, saya teruja juga sebenarnya tadi. Huh...Tipah tertipu bang!